Dalam Mengorak Langkah Ke Era Baru -
dari Generasi Perintis

Aspirasi Puan Katijah Binte Mohamed untuk mendirikan sebuah masjid dengan mewakafkan hartanya sebanyak $50,000.00 pada 28 Januari 1915 telah terkabul pada tahun 28 Mac 1920. Beliau tidak berpeluang untuk melihat sendiri masjid yang dirintisnya itu justeru telah meninggal dunia pada 9 Jan 1916 setelah setahun mewasiatkan pengamanahnya untuk membina masjid yang disandarkan atas namanya iaitu Masjid Khadijah di Lot 823 dan Lot 830 Daerah Kallang ketika itu.

Sejak itu, Masjid Khadijah telah menjadi wadah bagi kegiatan ibadah para penduduk Islam yang bermestautin di sekitar daerah Kallang dan Geylang ketika itu. Kubur-kubur lama tanpa tanda yang terdapat di bahagian kiri kawasan masjid adalah menifestasi bahawa masjid ini pernah dijadikan pusat kegiatan agama yang aktif pada tahun-tahun dua-puluh dan tiga-puluhan sezaman dengan masjid-masjid waqaf di kawasan sekitaran itu Masjid Khalid, Masjid Wak Tanjung, Masjid Haji Salleh, dan Masjid Kassim. Masjid ini juga pernah dikenali sebagi Masjid Bagarib justeru mengambil sempena nama Imam yang bertugas pada waktu itu. Di antara sekian banyak para tetamu Masjid Khadijah yang terdiri daripada para ulama terkemuka dan orang-orang kenamaan ialah Yang Berbahagia Maulana Abdul Haleem Siddique, Kyai Abdul Karim Banjar seorang guru yang mengajar di Masjidil Haram, Makkah, Bapak Kyai Haji Ahmad Shohibulwafa Tajul Ariffin, Sesepuh Pondok Persantren Suryalaya, dan Yang Amat Berhormat Tan Sri Sakaran Dandai, Tuan Yang Terutama Negeri Sabah.

Bangunannya yang mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi yang mirip kepada pengaruh binaan Masjid Nabawi menjadi mercutanda bagi penduduk tempatan ketika itu kini diletakkan di bawah Conservation Act oleh URA dan akan dilestarikan. Aspirasi Puan Katijah Bte Mohamed untuk membina masjid telah dibantu oleh empat orang wanita Islam yang turut mencatat nama dalam sejarah Masjid Khadijah sebagai pengasas Masjid Khadijah yang jitu kepada tugas-tugas dan usaha yang dijalankan iaitu:

(a) Puan Moona Meydin Kandoo Marican
(b) Puan Amina Binte Mohamed Tamby
(c) Puan Mayna Soona Ahmad Nachia
(d) Kavena Mana Mohamed Nather

Puan Katijah Bte Mohamed mempunyai visi yang dinamis ketika itu justeru $20,000.00 dari wang $50,000.00 yang diwakafkan itu diperuntukkan untuk rumah wakaf sebagai gagasan menampung pembiayaan Masjid Khadijah. Akhirnya sesuai dengan kemahuan beliau, dua rumah wakaf telah didirikan di perkarangan iaitu 587 dan 589 Geylang Road. Sementara itu, para pengasas sebagai penerus cita-cita beliau telah melaksanakan tugas mereka dengan baik di antara lain mengamanahkan $10,000.00 untuk membiayai Imam dan pegawai masjid serta menjalankan kegiatan-kegiatan di Masjid Khadijah.

Pada 2 Oktober 1925 suatu skim 'khairat' untuk bangunan Masjid Khadijah telah diluluskan oleh kerajaan pada waktu itu.

ke Generasi Kedua

 

LINKS


World Wide Web
Khadijah Mosque